OGOS 2023

Produk Kraf Mampu Jana Pendapatan Lumayan


KUCHING: Barangan kraf berkualiti tinggi, unik, asli, bercirikan budaya dan tradisi akan mendapat permintaan serta mampu bersaing di peringkat global pada harga yang kompeitif.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, justeru pengusaha tempatan harus berusaha menggunakan mesin dan teknologi untuk menghasilkan barangan kraf yang bermutu tanpa mengetepikan keasliannya.

“Apa yang lebih penting ialah mengekalkan keaslian dan keunikan barangan kraf yang dihasilkan,” katanya pada majlis penutupan pertandingan kraftangan anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Wanita Iban Sarawak di sini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha mencari jalan meningkatkan pendapatan rakyat terutama melalui industri kraf dan pelancongan.

Beliau berkata, industri kraf tangan merupakan satu daripada mempelbagaikan punca pendapatan rakyat terutama yang tinggal di luar bandar di samping mengusahakan tanaman kelapa sawit, lada, getah dan ternakan.

Industri kraf sekarang, katanya, memain peranan penting dalam meningkatkan pendapatan rakyat jika mengambil kira daripada nilai jualan dan penyertaan masyarakat dalam industri terbabit.

Menurut beliau, setakat Oktober tahun lalu, industri kraf mencatat jualan berjumlah RM17 juta melepasi sasaran RM15 juta dan pada 2021, jualan itu berjumlah RM15.7 juta.

Jumlah pengusaha sepenuh masa  yang berdaftar pula meningkat daripada 951 orang pada 2019 kepada 1,143 tahun lalu, katanya.

Beliau menambah, barangan kraf menggunakan hasil hutan seperti bakal, perabot, perhiasan dinding dan cenderamata mencatat jumlah tertinggi.

Uggah berkata, dua agensi iaitu Perbadanan Pembangunan Kraftangan Malaysia dan Majlis Kraft Sarawak boleh membantu mengadakan lebih banyak Program Pembangunan Komuniti Kraf bagi membangunkan industri berkenaan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa pengusaha supaya mendaftarkan hasil kraf tangan tempatan dengan Jabatan Warisan Negara bagi melindungi hak cipta dan mengekalkan kekayaan budaya negara ini untuk generasi akan datang.

GAMBAR:JAPEN

Sumber dari : Jiwa Bakti